Catat rekod Jalur Gemilang terbesar
DUNGUN 19 Sept. – Sambutan Hari Malaysia lebih bermakna bagi 40 penyelam skuba apabila sebuah Jalur Gemilang terbesar berjaya dikibarkan di dasar laut di Pulau Tenggol dekat sini dan sekali gus mencatatkan rekod baharu di dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Jalur Gemilang berukuran 15.9 meter panjang dan 9 meter menegak itu berjaya dikibarkan pada kedalaman 12 meter serta disahkan secara rasmi sebagai rekod baharu oleh Pengurus Pejabat Malaysia Book of Records Sdn. Bhd, Lee Pooi Leng.
Menurut Pooi Leng, proses menurun serta mengibarkan Jalur Gemilang itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan selesai dilakukan dalam masa tidak sampai satu jam dengan para penyelam begitu teruja merakamkan gambar masing-masing di dasar laut.
“Ini satu kejayaan dan pihak kami berbangga dengan semangat ditunjukkan oleh para penyelam skuba yang secara langsung menjadi sejarah sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Program mengibarkan Jalur Gemilang terbesar itu mendapat kerjasama daripada pihak penganjur Scuba Netword Tenggol, kumpulan penyelam Kalkatudivers, Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Taman Laut dan pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Scuba Network Tenggol, Ahmad Kamarul Azman Kamaluddin berkata, perancangan untuk mengibarkan Jalur Gemilang itu telah dilakukan sejak beberapa bulan lalu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/terengganu/catat-rekod-jalur-gemilang-terbesar-1.750789#ixzz5RbFaiAKQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment